Dari pandangan Islam, Syed Othman Alhabshi (2003) menjelaskan bahawa ilmu ialah sesuatu yang pasti yang terbit daripada kebenaran yang mutlak yang harus kekal di sisi manusia dan diterima oleh hatinya (al-qalb). Konsep ilmu ini datang daripada perkataan yaqin yang sememangnya mempunyai maksud benar dan pada masa yang sama membina keamanan, keselamatan dan ketenangan dalam hati. Oleh itu, ilmu tidak boleh berada dalam bentuk tekaan yang bijak atau sangkaan yang mungkin mengandungi unsur syak yang akan bertukar atau berubah demi masa atau tempat. Apabila syak wujud, walau sedikit sekali pun, ia bukan lagi suatu kebenaran yang mutlak, ia juga tidak lagi akan menenangkan hati dan dengan itu bukan lagi dianggap ilmu.
Takrif budaya ilmu bermaksud budaya yang berlandas dan dipimpin oleh ilmu. Ia juga merupakan iltizam serta amalan masyarakat yang meletakkan ilmu sebagai nilai asas dan tertinggi sekali dalam sistem nilainya. Budaya ilmu juga difahami sebagai kewujudan suatu keadaan di mana setiap individu akan melibatkan dirinya baik secara langsung atau tidak dengan aktiviti-aktiviti keilmuan pada setiap kesempatan melalui perbincangan, diskusi, percambahan idea dan tindakan bersandarkan ilmu. Seseorang atau sesuatu bangsa yang mengamalkan budaya ilmu akan sentiasa meletakkan ilmu sebagai kunci ke arah kebaikan, kemakmuran, kemajuan dan kejayaan diri atau bangsanya.
Jadi, apabila kita bercakap tentang orang yang berilmu, atau pun tentang budaya ilmu, maksudnya ialah, orang atau masyarakat yang mempunyai pengetahuan dan pemahaman yang global, yang menyeluruh, tentang hakikat alam ini sebagai ciptaan Allah yang tauhid. Ahli sains tidak lengkap ilmunya jikalau dia hanya pakar dalam bidangnya yang kecil, yang dikatakan khusus, sekiranya persepsinya tidak meluas, tidak celik budaya, tidak mengetahui atau memahami perkara-perkara lain seperti sejarah, budaya, sastera, ekonomi, keadaan sosial dan politik negaranya, atau tentang bidang-bidang ilmu yang lain, walaupun secara umum, sebab semua perkara dan bidang yang lain itu kait-mengait dan bantu-membantu, untuk teorinya dan perasaannya dengan manusia dan masyarakat sekitarnya secara lebih realistik, di samping menjadikan dia lebih sedar akan keterbatasan ilmunya yang khusus untuk memahami hakikat hidup dan alam sejagat ini secara global.
Ciri-ciri individu atau masyarakat yang menghayati budaya ilmu ialah:
• Kecintaan yang tinggi sepanjang hidup terhadap ilmu
• Menghayati idealisme perjuangan kebenaran
• Memberi keutamaan kepada usaha-usaha penerokaan, pembangunan dan penyebaran ilmu
Huraian dipetik daripada tulisan sarjana.
No comments:
Post a Comment