Saturday, November 15, 2008

Konvo upm Okt '08

Setelah bertungkus-lumus selama 3 Tahun di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM, kini aku bergelar graduan. Apa yang dihajati oleh setiap insan, kini telah kucapai. Walupun agak terlambat, namun aku juga memilikinya.

Dalam usia yang agak lanjut, aku tetap berusaha untuk mencapai segulung Ijazah Sarjana Muda Sastera (Bahasa dan Linguistik Melayu). Semua ini kuharap akan menjadi pendorong buat anak-anak tersayang. Semoga mereka juga akan dapat melangkah ke Menara Gading dan mendapat apa yang amat dicita-citakan oleh setiap insan di dunia ini.

Bebanan tugas sebagai pendidik, tanggungjawab terhadap keluarga (isteri dan anak-anak), bebanan tugas sebagai pelajar tetap kuharungi. Saban malam kuhayunkan kaki melangkah ke UPM untuk menimba ilmu. Setiap tugasan yang diberikan Pensyarah kusiapkan. Hasilnya Segulung Ijazah.




Gambar kenangan 20 Okt 2008

Konvo upm Okt '08


Kenangan bersama Isteri dan anak-anak Tersayang.

Konvo upm Okt '08


Melangkah kaki ke alam baru setelah mendapat Ijazah Sarjana Muda Sastera (Bahasa dan Linguistik Melayu). Saat yang paling menggembirakan.

Konvo upm Okt '08


Saat-saat yang ditunggu setelah 3 tahun meluangkan masa belajar di UPM

Konvo Okt '08


Terima Ijazah daripada Yang Berbahagia Tan Sri Dato' Rozali Bin Ismail (Pro Canselor UPM) pada 22 Oktober 2008

Konvo upm Okt '08


Bergambar kenangan bersama keluarga tersayang.

Wednesday, September 17, 2008

Bersyukur dengan setiap rezeki yang ada.

Saturday, August 30, 2008

HAYATI ERTI KEMERDEKAAN

Kemerdekaan beerti melepaskan belenggu diri, keluarga, masyarakat dan negara daripada penjajah samada penjajahan tanahair ataupun penjajahan minda. Walaupun negara merdeka, tidak beerti minda rakyatnya juga merdeka.

Penjajahan minda amat perlu dimerdekakan. Sekiranya tidak, sudah pasti erti kemerdekaan sebenar tidak mampu dihayati sepenuhnya. Apa yang penulis perhatikan, kemerdekaan kali ke 51 ini amat malap. Tidak seperti kemerdekaan yang lepas-lepas. Kalau dulu, Jalur Gemilang yang menjadi kebanggan negara kita telah dikibarkan di segenap pelusuk negara. Tak kira pada bangunan mahupun pada kenderaan. Tapi pada masa ini hanya segelintir pengguna sahaja yang melekatkan Jalur Gemilang pada kenderaan mereka.

Apa sudah jadi? Di mana silapnya? Sama-samalah kita cari. Renung diri sendiri, buka minda, jangan salahkan orang lain. Baiki diri sendiri sebelum mengubah orang lain.

Thursday, May 15, 2008

16 May Tarikh Keramat

Tarikh 16 May sememangnya ditunggu oleh setiap insan yang bergelar pendidik. Sememangnya tarikh ini merupakan tarikh keramat.

Cuma saya nak nyatakan di sini, setakat manakah keraamatnya tarikh ini? Kalau cuma pada 16 May, sahaja perjuangan seorang pendidik dikenang, disambut meriah beserta dengan pelbagai macam Tema. Saban tahun Tema Hari Guru berubah, dengan harapan guru juga akan turut berubah, Institusi yang sepatutnya membela nasib guru juga berubah, masyarakat yang terlibat secara langsung dengan guru patut juga berubah.

Perubahan yang sepatutnya membawa kepada yang lebih baik. Saya juga rasa amat terkilan sekiranya terdapat berita-berita yang dipaparkan di dada akhbar tentang salah laku guru. Pelbagai komentar dikeluarkan berdasarkan laporan akhbar tersebut.

Kalau dulu guru boleh dikatakan amat tinggi darjatnya. Semua orang memandang tinggi profesion Perguruan, namun kini semuanya kelihatan agak merosot. Entah di mana silapnya. Siapa yang hendak disalahkan?...

Walau apa pun, hati ini agak terusik apabila tibanya tarikh 16 May. SMS demi SMS diterima untuk mengucapkan 'Selamat Hari Guru'.

Sekurang-kurangnya ada juga insan yang masih sanggup merayakan Hari Guru. Walau pelbagai tanggapan yang dilemparkan kepada guru, namun itu semua harus ditelan oleh insan yang bergelar pendidik. Insan yang terpilih untuk mendidik anak bangsa. Sekurang-kurangnya ada la juga sumbangan guru untuk generasi masa depan yang dianggap pelapis pemimpin yang ada sekarang.


"SELAMAT HARI GURU" buat Semua guru... Jasamu Pasti dikenang...

Monday, April 14, 2008

P e n g h a y a t a n B u d a y a I l m u

Dari pandangan Islam, Syed Othman Alhabshi (2003) menjelaskan bahawa ilmu ialah sesuatu yang pasti yang terbit daripada kebenaran yang mutlak yang harus kekal di sisi manusia dan diterima oleh hatinya (al-qalb). Konsep ilmu ini datang daripada perkataan yaqin yang sememangnya mempunyai maksud benar dan pada masa yang sama membina keamanan, keselamatan dan ketenangan dalam hati. Oleh itu, ilmu tidak boleh berada dalam bentuk tekaan yang bijak atau sangkaan yang mungkin mengandungi unsur syak yang akan bertukar atau berubah demi masa atau tempat. Apabila syak wujud, walau sedikit sekali pun, ia bukan lagi suatu kebenaran yang mutlak, ia juga tidak lagi akan menenangkan hati dan dengan itu bukan lagi dianggap ilmu.


Takrif budaya ilmu bermaksud budaya yang berlandas dan dipimpin oleh ilmu. Ia juga merupakan iltizam serta amalan masyarakat yang meletakkan ilmu sebagai nilai asas dan tertinggi sekali dalam sistem nilainya. Budaya ilmu juga difahami sebagai kewujudan suatu keadaan di mana setiap individu akan melibatkan dirinya baik secara langsung atau tidak dengan aktiviti-aktiviti keilmuan pada setiap kesempatan melalui perbincangan, diskusi, percambahan idea dan tindakan bersandarkan ilmu. Seseorang atau sesuatu bangsa yang mengamalkan budaya ilmu akan sentiasa meletakkan ilmu sebagai kunci ke arah kebaikan, kemakmuran, kemajuan dan kejayaan diri atau bangsanya.

Jadi, apabila kita bercakap tentang orang yang berilmu, atau pun tentang budaya ilmu, maksudnya ialah, orang atau masyarakat yang mempunyai pengetahuan dan pemahaman yang global, yang menyeluruh, tentang hakikat alam ini sebagai ciptaan Allah yang tauhid. Ahli sains tidak lengkap ilmunya jikalau dia hanya pakar dalam bidangnya yang kecil, yang dikatakan khusus, sekiranya persepsinya tidak meluas, tidak celik budaya, tidak mengetahui atau memahami perkara-perkara lain seperti sejarah, budaya, sastera, ekonomi, keadaan sosial dan politik negaranya, atau tentang bidang-bidang ilmu yang lain, walaupun secara umum, sebab semua perkara dan bidang yang lain itu kait-mengait dan bantu-membantu, untuk teorinya dan perasaannya dengan manusia dan masyarakat sekitarnya secara lebih realistik, di samping menjadikan dia lebih sedar akan keterbatasan ilmunya yang khusus untuk memahami hakikat hidup dan alam sejagat ini secara global.

Ciri-ciri individu atau masyarakat yang menghayati budaya ilmu ialah:

• Kecintaan yang tinggi sepanjang hidup terhadap ilmu
• Menghayati idealisme perjuangan kebenaran
• Memberi keutamaan kepada usaha-usaha penerokaan, pembangunan dan penyebaran ilmu

Huraian dipetik daripada tulisan sarjana.

Erti Kehidupan

Assalamualaikum,
Tinta Senyum So'mo, kali ini cuba untuk membincangkan satu pengertian tentang hidup dan mati. Setiap yang hidup di dunia ini pasti akan mati kerana hidup ini tidak kekal sama seperti dunia ini yang bersifat fana.

Manusia seharusnya menggunakan masa hidup ini untuk melakukan kebaikan-kebaikan sebagai bekalan apabila mati kerana manusia akan dibangkitkan semula dengan balasan yang setimpal dengan kebaikan yang telah dilakukannya ketika hidup.
Manusia kini seolah-olah lupa bahawa kematian akan pasti datang. Bagi manusia mereka melakukan keburukan dan kerosakan seakan-akan lupa bahawa mereka akan mati dan mendapat balasannya.

Kehidupan juga bermula dengan tangisan (bayi) sama seperti kematian, namun tangisan ketika lahir itu tidaklah tangisan yang tragis seperti tangisan kerana mengenangkan kematian seseorang yang kita sayangi.

Kita sentiasa sibuk membuat persediaan untuk menghadapi peperiksaan..
Kita juga amat sibuk membuat persediaan untuk menyambut sesuatu perayaan..
Kita jugalah orang yang sering sibuk membuat persediaan menghadapi hari persaraan..
Namun begitu, apakah kita juga tergolong dalam golongan orang yang paling sibuk membuat persediaan untuk menghadapi hari bertemu Yang Maha Esa?

Fikir-fikirkanlah. Ada mata tengok, ada telinga dengar, ada akal nilailah sendiri...

Sunday, April 13, 2008

Anak-anakku sayang




Belajar Sepanjang Hayat

Assalamualaikum,
Cetusan rasa, membawakan satu persoalan mengenai belajar. Apa yang diketahui umum bahawa belajar amat penting dalam kehidupan manusia. Semua manusia perlu belajar walau dalam apa jua keadaan. orang mislin yang ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang pun perlu belajar. Kanak-kanak belajar untuk memulakan kehidupan, remaja belajat untuk bebas daripada kongkongan orang tua, orang tua pula perlu belajar untuk meneruskan kehidupan serta menimba bekalan untuk sampai ke kubur.
Pembelajaran di alam kanak-kanak boleh dikatakan biasa, kerana semua orang perlu melaluinya. Namun begitu oarang tua sepatutnya lebih tekun lagi belajar kerana masa untuk ke alam yang abadi boleh dikatakan lebih dekat berbanding dengan kanak-kanak mengikut logik pemikiran manusia. Mati tak siapa yang tahu. Yang tua mungkin mendahului yang muda atau sebaliknya.