Saturday, December 15, 2012
Taharah / Bersuci
Taharah / Bersuci
1. Definisi :
i) Dari segi bahasa : Suci dan bersih
ii) Dari segi istilah syarak : Suci dan bersih daripada najis atau hadas.
2. Taharah ialah anak kunci dan syarat sah salat.
3. Hukum taharah ialah WAJIB di atas tiap-tiap mukallaf lelaki dan perempuan.
4. Dalil naqli tentang suruhan bersuci adalah sebagaimana firman Allah s.w.t. dalam Surah al-Anfal, ayat 11 yang bermaksud :
" Dan (ingatlah ketika) Dia menurunkan kepada kamu hujan daripada langit untuk mensucikan kamu dengannya... "
Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud :
" Agama islam itu diasaskan di atas kebersihan "
5. Tujuan taharah ialah bagi membolehkan seseorang itu menunaikan solat dan ibadah-ibadah yang lain.
6. Hikmah disuruh melakukan taharah ialah kerana semua ibadah khusus yang kita lakukan itu adalah perbuatan mengadap dan menyembah Allah Ta'ala. Oleh itu untuk melakukannya, maka wajiblah berada di dalam keadaan suci sebagai mengagungkan kebesaran Allah s.w.t. .
7. Faedah melakukan taharah ialah supaya badan menjadi bersih, sihat dan terjauh daripada penyakit serta mendatangkan kegembiraan kepada orang yang melaksanakannya.
8. Syarat wajib taharah ialah :
Islam
Berakal
Baligh
Masuk waktu ( Untuk mendirikan solat fardhu ).
Tidak lupa
Tidak dipaksa
Berhenti darah haid dan nifas
Ada air atau debu tanah yang suci.
Berdaya melakukannya mengikut kemampuan.
9. Taharah adalah sebagai bukti bahawa Islam amat mementingkan kebersihan dan kesucian.
10. Ahli fiqh bersepakat mengatakan harus bersuci dengan air yang suci (mutlaq) sebagaimana firman Allah:
025.048 وَهُوَ الَّذِي أَرْسَلَ الرِّيَاحَ بُشْرًا بَيْنَ يَدَيْ رَحْمَتِهِ وَأَنْزَلْنَا مِنَ السَّمَاءِ مَاءً طَهُورًا
Maksudnya :
"Dialah yang meniupkan angin (sebagai) pembawa khabar gembira dekat sebelum kedatangan rahmat-Nya (hujan); dan Kami turunkan dari langit air yang amat bersih "
11. Selain itu, harus menggunakan kertas atau batu ketika beristinja' dan tanah atau debu tanah sebagai ganti air bagi mengharuskan solat yang dikenali sebagai tayammum.
12. Jelasnya, alat–alat untuk bersuci itu ialah:
Air mutlaq, iaitu air semata-mata tanpa disertakan dengan sesuatu tambahan atau sesuatu sifat. Air mutlaq ini terbahagi kepada beberapa bahagian:
Air yang turun daripada langit. Ia terbahagi kepada tiga, iaitu air hujan, air salji yang menjadi cair dan air embun.
Air yang terbit daripada bumi. Ia terbahagi kepada empat, iaitu air yang terbit daripada mata air, air perigi, air sungai dan air laut.
Tanah, boleh menyucikan jika tidak digunakan untuk sesuatu fardhu dan tidak bercampur dengan sesuatu. Firman Allah:
004.043 يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لا تَقْرَبُوا الصَّلاةَ وَأَنْتُمْ سُكَارَى حَتَّى تَعْلَمُوا مَا تَقُولُونَ وَلا جُنُبًا إِلا عَابِرِي سَبِيلٍ حَتَّى تَغْتَسِلُوا وَإِنْ كُنْتُمْ مَرْضَى أَوْ عَلَى سَفَرٍ أَوْ جَاءَ أَحَدٌ مِنْكُمْ مِنَ الْغَائِطِ أَوْ لامَسْتُمُ النِّسَاءَ فَلَمْ تَجِدُوا مَاءً فَتَيَمَّمُوا صَعِيدًا طَيِّبًا فَامْسَحُوا بِوُجُوهِكُمْ وَأَيْدِيكُمْ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَفُوًّا غَفُورًا
“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu solat, sedang kamu dalam keadaan mabuk, sehingga kamu mengerti apa yang kamu ucapkan, (jangan pula menghampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan berjunub), terkecuali sekadar berlalu sahaja, hingga kamu mandi. Dan jika kamu sakit atau dalam bermusafir atau kembali dari tempat buang air atau kamu telah menyentuh perempuan, kemudian kamu tidak mendapat air, maka bertayamumlah kamu dengan tanah yang baik (suci); sapulah mukamu dan tanganmu. Sesungguhnya Allah Maha Pemaaf lagi Maha Pengampun. ”
(Surah Al-Nisa’, 4:43)
3. Samak, iaitu membuang bahan-bahan lebihan yang melekat pada kulit dan yang merosakkannya sekira-kira jika direndam atau dibasuh dengan air sesudah disamak, maka kulit itu tetap tidak busuk atau rosak.
4. Takhallul, iaitu arak bertukar menjadi cuka tanpa dimasukkan sesuatu bahan ke dalamnya.
Rujukan Kitab :
1) Kitab Mattlaal Badrain oleh Syeikh Muhammad bin Daud Al-Fatani
2) Ringkasan Ibadah oleh Ibnu Rahmat .
3) Kitab Minhajul Muslim oleh Abu Bakar Jabir Al-Jazairi .
4) Fiqh Syafii oleh Hj.Idris Ahmad S.H.
Saturday, November 10, 2012
Monday, September 17, 2012
Netbook 1Malaysia: Rosak sebelum sempat digunakan
WARTAWAN SINAR HARIAN
17 September 2012
Mohd Pauzi menunjukkan Netbook 1Malaysia milik anaknya yang terpaksa dibaiki.
TEMERLOH – Entah di mana silapnya, berdozen Netbook 1Malaysia yang diedarkan kepada pelajar di daerah ini terpaksa dihantar ke kedai komputer untuk dibaiki atas pelbagai kerosakan.
Ada antara ibu bapa yang ditemui kecewa kerana hanya sempat menggunakan produk itu dalam tempoh seminggu, malah lebih teruk ada yang mendakwa langsung tidak boleh menggunakannya sejak diterima tiga bulan lalu.
Mohd Pauzi Abdul Ghani, 32, dari Bandar Bera, berkata, dia sedikit terkilan apabila dimaklumkan anaknya, netbook berkenaan langsung tidak boleh digunakan.
Menurutnya, netbook yang diterima anaknya dalam satu majlis pengagihan Jun lalu itu cuba dihidupkan, namun langsung tidak boleh berfungsi.
“Saya sedikit terkilan kerana sudah membeli modem untuk mengakses internet tetapi netbook pula rosak, saya hantar baiki pada 19 Jun lalu dan hari ini baru siap dibaiki,” katanya sewaktu mengambil semula netbooknya di salah sebuah kedai komputer, di sini.
Mohd Pauzi berkata, sebagai bapa penerima, dia tidak menafikan sumbangan kerajaan dalam membantu pelajaran anaknya, tetapi sedikit terkilan apabila produk yang dibekalkan tidak berkualiti.
“Saya takut benda-benda macam ini dimanipulasikan pihak tertentu, mungkin pembekal sendiri tidak mengetahui produk mereka tidak berkualiti, tambahan pula ia diedarkan dalam kuantiti yang banyak dari kilang," katanya.
Mohd Pauzi berkata, dia dimaklumkan memang ramai ibu bapa yang mengeluh mengenai produk itu kerana ada yang baru pakai seminggu sudah rosak.
Sementara itu seorang lagi bapa, Wahid Ahmad Salleh berkata, anaknya juga langsung tidak sempat menggunakan netbook tersebut.
“Anak saya punya pun sama, dapat dalam keadaan sudah rosak, terpaksa hantar ke kedai untuk dibaiki,” katanya.
Sinar Harian yang melakukan tinjauan selama setengah jam semalam turut mendapati dalam tempoh itu tiga pelanggan datang ke kedai semuanya berkaitan netbook yang rosak.
Sinar Harian dimaklumkan kebanyakan ibu bapa menghantar netbook yang rosak pada Jun lalu iaitu selepas menerima pengagihan secara berkelompok di salah sebuah sekolah, di sini.
Menurut pekedai, ada juga ibu bapa yang marahkan mereka sedangkan mereka langsung tidak mengetahui hujung pangkal produk itu.
“Kami hanya bantu orang ramai, kebanyakan netbook yang dihantar mengalami masalah hardisk, motherboard dan screen rosak,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Sains, Teknologi dan Inovasi Pahang, Datuk Mohd Sharkar Shamsudin menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memastikan produk dibekalkan itu berkualiti supaya tidak menyusahkan orang ramai.
“Kita akan usahakan penyelesaian isu ini kerana kita tidak mahu bantuan yang diberikan kerajaan menjadi bebanan pula kepada ibu bapa apabila produk tidak berkualiti,” katanya.
* Tulisan ini sebahagian daripada laporan khas dibawa oleh Sinar Harian edisi Isnin, 17 September 2012
Subscribe to:
Posts (Atom)